Thursday, November 27, 2008

Ilmu: Penyakit Kembong Perut

Penyakit kembong berlaku apabila didapati pembesaran rumen dan reticulum (perut di bahagian abdomen kiri). Penyakit kembong ini mengakibatkan kerugian melalui kematian kepada ternakan. Selain daripada itu ia boleh mengurangkan kadar pengeluaran serta membataskan penggunaan berbagai jenis rumput-rumput kepada ternakan.
Kejadian kembong perut biasanya bertambah dalam pengurusan yang menggunakan baja yang banyak pada pastura dan apabila ternakan makan daun-daun kayu seperti daun ubi dan nangka terlalu banyak.

Aetiology (sebab-sebab kembong)
Sebab utama kejadian kembong adalah apabila kadar gas yang dihasilkan melebihi kadar pengeluaran gas (eructation). Gangguan yang terjadi menyebabkan gas yang dihasilkan terkumpul di dalam rumen yang kemudiannya membesar. Kelebihan gas yang dihasilkan adalah kerana mikro organisma dalam rumen dan juga oleh gangguan secara tidak langsung terhadap pengeluaran gas.

Jenis-jenis penyakit kembong
a) Gangguan secara fizikal (Physical disturbance)
- sekatan kepada esophagus (esophageal obstruction)
- abscess, adhesion, radang perut (gastritis)
- terlebih 'froth' dalam rumen
- kedudukan abomasum yang salah (displace abomansum)

b) Gangguan secara 'biochemical'
- makan daun-daun kayu yang beracun
- terbanyak makan dedak/palm kernel cake (PKC)
- 'sensitize' kepada uba-ubat
- kerosakan kepada sistem saraf
c) Gangguan melalui penyakit 'entero toxemia' dan keracunan nitrate.
Jika diperhatikan dengan betul, kita dapati penyakit kembong boleh dibahagi kepada dua sebab utama. Pertama disebabkan pengeluaran gas yang berlebihan dari yang dikeluarkan dari tubuh ternakan. Ini disebabkan oleh faktor-faktor pemakanan dan juga terdapat banyak gas 'foam' di dalam rumen. Kedua, disebabkan oleh sekatan kepada pergerakan gas yang dihasilkan secara fizikal.

Faktor utama adalah masa dan keadaan ternakan, jenis makanan & keadaan tanah (kandungan zat).

Tanda-tanda klinikal:
- pembesaran bahagian kiri abdomen (para lumbarfossa).
- ternakan menjadi resah - selalu duduk dan bangun.
- kurang makan dan minum.
- ternakan berada dalam kesakitan terutama di bahagian abdomen kiri.
- ternakan terbaring dalam kesakitan.
- kematian.
- kadar pernafasan bertambah dan ternakan menjadi sesak nafas (dyspnoea).

Rawatan
Asas utama dalam rawatan kembong adalah untuk mengetahui sebab ianya terjadi. Adakah disebabkan oleh penghasilan gas yang terlalu banyak atau terdapat sekatan kepada pengeluaran gas dari rumen. Dalam penyakit kembong selain dari pengeluaran gas, ada juga terdapat buih (foam/frothy material) dan kedua-duanya perlu dikeluarkan untuk menjamin rawatan yang sesuai.
Untuk rawatan, anda perlu:-
- memasukkan tiub perut (stomach tube) melalui mulut untuk mengeluarkan gas yang terdapat dalam rumen.
- memberi ubat menahan kembong (anti bloat/anti foam agents) seperti Bloat guards yang diberi ke dalam rumen.
- memberi minyak kelapa (kelapa sawit/minyak masak) dengan tujuan memendakkan buih supaya memberi peluang kepada pengeluaran gas (100-500 ml)
- mengeluarkan gas dengan menggunakan; trocar atau benda-benda tajam di sebelah kiri abdomen (bahagian atas).
- selain dari itu anda juga boleh menggunakan teknik pembedahan seperti 'rumenotomy' untuk mengeluarkan gas.

Pengawalan penyakit kembong
Bagi menjamin ternakan yang sihat sepanjang masa anda harus menjalankan beberapa kaedah pengurusan bagi mengawal penyakit kembong. Anda perlu memerhati agar dedak atau PKC yang diberikan kepada ternakan tidak terlalu halus. Kehalusan makanan seperti ini akan mempercepatkan pengeluaran gas serta menghasilkan buih yang banyak. Selain dari itu daun-daun kayu yang dimakan oleh ternakan juga perlu diberi perhatian. Jika terlalu banyak akan menyebabkan kembong kerana lebih gas dihasilkan.
Anda juga perlu memberi perhatian kepada pembajaan pastura yang terlalu banyak. Keadaan tanah yang sesuai dengan zat makanan yang cukup juga membantu dalam pengawalan penyakit kembong.
Selain dari faktor masa dan keadaan sekeliling yang terlalu memberi tekanan (stress) kepada ternakan juga boleh menyebabkan kembong terjadi. Anda seharusnya memberi rawatan serta nasihat kepada penternak bagi mengawal penyakit kembong ini.
sumber: JPH T'ganu